Insiden tangkapan di Kulim disiasat, tiada perlindungan salah laku

Insiden tangkapan di Kulim disiasat, tiada perlindungan salah laku

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan salah laku dan memberi jaminan siasatan berhubung insiden tangkapan tular di Kulim, Kedah akan dijalankan secara telus serta mengikut prosedur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini, dua siasatan telah dibuka serentak membabitkan kes berkenaan iaitu masing-masing di bawah siasatan jenayah dan tindakan tatatertib dalaman.

“Siasatan jenayah dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427, manakala satu lagi siasatan adalah di bawah tatatertib. Kedua-dua siasatan ini berjalan selari ketika ini dan kita beri ruang untuk dilengkapkan sebelum sebarang keputusan diumumkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di Facebook menunjukkan seorang anggota polis menarik seorang lelaki dari motosikal sebelum meletakkan kaki di atas kepalanya.

Susulan itu, polis mengesahkan lelaki dalam video tular itu telah melawan ketika ditahan sebelum berjaya ditangkap, dan kemudiannya didapati positif dadah.

Insiden berlaku ketika rondaan pencegahan jenayah di Kulim apabila polis cuba menahan suspek di Jalan Sungai Ular kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam melaksanakan tangkapan, termasuk garis panduan penggunaan kekerasan.

“SOP tangkapan memang telah ditetapkan. Anggota dibenarkan menggunakan kekerasan minimum dan munasabah, khususnya jika suspek bertindak melawan atau mengancam keselamatan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan situasi tangkapan boleh berubah-ubah dan kadangkala melibatkan tentangan atau ancaman terhadap anggota polis, sekali gus memerlukan pertimbangan di lapangan

“Terdapat ruang pertimbangan (grey area). Kita perlu melihat tindakan suspek dan sama ada wujud ancaman terhadap keselamatan anggota,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tindakan telah diambil dan hasil siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN