PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan enam notis kompaun terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran atau ‘ulat foto’ di kawasan tumpuan awam sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), semalam.
DBKL memaklumkan, lima daripada individu yang ditahan adalah bukan warganegara selain turut menyita 11 peralatan yang digunakan bagi aktiviti fotografi berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan melalui Op Lens dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Operasi bersepadu DBKL, PDRM dan JPN ini dijalankan bagi mengambil tindakan terhadap individu yang menyediakan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran secara terbuka di kawasan awam.
“Menerusi operasi tersebut, DBKL mengeluarkan enam notis kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta menyita 11 peralatan fotografi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DBKL, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya akan terus memantau serta menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan berkenaan kekal selamat dan tidak mengganggu pengunjung.
Media sebelum ini melaporkan, kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’ di sekitar KLCC masih berleluasa. – UTUSAN










