Cabaran global semasa, ketegangan geopolitik tuntut penyesuaian semula ekonomi - PM

Cabaran global semasa, ketegangan geopolitik tuntut penyesuaian semula ekonomi – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran ekonomi global semasa yang dipengaruhi ketegangan geopolitik memerlukan Malaysia menyesuaikan semula keutamaannya dalam suasana ketidaktentuan yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan negara, kerajaan perlu kekal responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko jangka pendek serta prospek jangka panjang.

“Perkara paling tidak diingini dalam mana-mana ekonomi ialah ketidaktentuan. Justeru, perkembangan terkini membabitkan konflik di Asia Barat serta implikasinya kepada rantau ini menimbulkan cabaran yang besar.

“Bagaimanapun, kerajaan ketika ini masih mampu mengekang harga bahan api domestik, dengan harga RON95 Malaysia kekal antara yang terendah di dunia,” katanya berucap pada Forum Siri 11 Ilmuwan Malaysia MADANI bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis”, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, di sini malam tadi. 

Anwar mengingatkan bahawa langkah itu membabitkan kos fiskal yang tinggi.

Jelas beliau, ini kerana kerajaan perlu menanggung subsidi melebihi RM7 bilion bagi mengurus kesannya kepada rakyat.

“Buat masa ini kita masih boleh mengekang kenaikan harga. Namun, adakah ia mampan dalam jangka sederhana atau panjang? Itu persoalan asas,” katanya.

Menurutnya, bekalan petrol masih terkawal susulan pengeluaran domestik serta pengaturan oleh Petroliam Nasional Berhad, namun bekalan diesel adalah cabaran yang lebih mendesak.

“Diesel menjadi isu utama. Berbanding petrol, kita lebih terhad dan perlu berdepan kemungkinan kekurangan bekalan.

“Malah,  Malaysia tidak dapat mengeksport diesel walaupun terdapat permintaan daripada negara lain berikutan keperluan domestik,” katanya. 

Anwar berkata, perkembangan itu menuntut Malaysia meningkatkan keupayaan menjangka risiko jangka pendek dan sederhana dengan lebih berkesan, selain menjadikan pengurusan ekonomi sebagai fokus utama dasar.

“Dalam masa yang sama kita masih perlu melihat ke hadapan. Kajian masa depan amat penting bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa, tetapi juga menjangka landskap akan datang dalam dunia pascanormal,” katanya.

Anwar berkata, kerjasama berskala kecil dan praktikal dalam kalangan beberapa negara Islam seperti Malaysia, Türkiye, Indonesia dan Pakistan dilihat boleh menjadi titik permulaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan institusi.

Forum itu menampilkan Anwar sebagai moderator dan mengetengahkan barisan panel penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna; serta Profesor Madya di National University of Singapore, Dr Khairudin Aljunied.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×