Bantuan mangsa kebakaran Sandakan disaring kepada mereka yang berkelayakan

Bantuan mangsa kebakaran Sandakan disaring kepada mereka yang berkelayakan

ZULKIFLI Hasan dalam sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra Pemandu E-hailing dan P-hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada penduduk terjejas akibat kebakaran perkampungan atas air di Sandakan, Sabah akan disaring secara teliti bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak menerima keutamaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan agihan bantuan dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, selain mengelakkan keciciran dalam kalangan mereka yang memerlukan.

Menurutnya, sejak insiden berkenaan berlaku, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama agensi-agensi agama lain telah turun padang bagi meninjau keadaan serta menyalurkan bantuan awal termasuk kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta keperluan makanan.

“Insya-Allah, saya akan turun ke Sandakan pada Selasa ini dengan membawa lebih banyak bantuan selepas kita melakukan sesi mendapatkan maklumat terkini.

“Apabila kita turun, kita mahu pastikan maklumat lengkap tersedia, termasuk mengenal pasti siapa yang terlibat dan lokasi yang perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pemandu E-hailing dan P-hailing Berakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pemberian sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, di Sandakan, Sabah membabitkan peruntukan berjumlah RM450,000 yang akan disalurkan kepada 300 keluarga yang sudah dikenal pasti.

Bantuan sebanyak RM300 kepada anak penduduk warganegara yang masih bersekolah juga diberikan yang memanfaatkan 454 murid dan pelajar dari 12 sekolah yang menetap di perkampungan tersebut.

Minggu lalu, ribuan penduduk di perkampungan atas air berkenaan terjejas apabila api marak dengan pantas memusnahkan kediaman mereka yang melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pengumpulan data yang menyeluruh menjadi keutamaan sebelum sebarang bantuan tambahan diagihkan bagi memastikan keberkesanan bantuan kepada kumpulan sasar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan majoriti agensi di bawah Hal Ehwal Agama akan digerakkan dalam misi bantuan tersebut, antaranya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Lembaga Tabung Haji serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Jentera kita adalah yang terbaik dan kita galakkan penglibatan majoriti agensi agama bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN