SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai tertimbus tanah runtuh akibat hujan lebat, ketika cuba menghidupkan set jana kuasa di belakang sebuah hotel, di sini pagi tadi.
Mangsa, Frederick J. Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 6.39 pagi sebelum mengarahkan 10 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah.
“Kerja menyelamat dijalankan dengan menggunakan peralatan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 7.14 pagi,” katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.
“Mangsa yang juga pekerja di hotel terbabit dipercayai cuba menghidupkan jana kuasa yang terletak di belakang bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik, namun berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.
“Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.19 pagi. – UTUSAN










