JOHOR BAHRU: Seorang wanita tempatan bersama lima rakan lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan rompakan berkumpulan terhadap suaminya sendiri di Pasir Gudang, bulan lalu.
Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dibuat di tiga kamar berasingan, masing-masing di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Mohd. Zamir Suhaimee serta Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Di hadapan Che Wan Zaidi, tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, mengaku bersalah manakala Muhammat Rashid Ismail, 30, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Kedua-duanya didakwa secara bersama merancang melakukan kesalahan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 24 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, Che Wan Zaidi turut menetapkan 8 April depan untuk semula kes dan keputusan hukuman terhadap Shameem Begum.
Sementara itu, di hadapan Mohd. Zamir pula, tiga tertuduh iaitu Emmirul Azim Samat, 30; Muhammad Syukri Mohamed Yusoff, 32, dan Abdul Rahman Abd Rahim, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Emmirul Azim berdepan dua pertuduhan iaitu menyimpan harta curi iaitu wang tunai sebanyak RM50,000 milik lelaki Pakistan yang merupakan suami kepada Shameem Begum dan membuat persiapan melakukan rompakan berkumpulan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 412 dan Seksyen 399 Kanun Keseksaan dengan kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas mangsa sama dengan membawa lari wang tunai sebanyak RM500,000.
Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sama.
Mahkamah membenarkan jamin RM18,000 terhadap Emmirul Azim, manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan, selain turut menetapkan tarikh 14 April untuk sebutan semula kes.
Manakala di hadapan Azureen Sahira, seorang lagi tertuduh iaitu Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan sepucuk pistol berwarna silver jenis Pietro Beretta yang merupakan kesalahan bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bilik pejabat di Taman Damansara Aliff, Tampoi di sini pada pukul 11.05 pagi, 27 Februari lalu.
Azureen Sahira kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 31 Mac depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










