KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang tukang masak, dua minggu lalu.
Tertuduh, S. Gunasegaran, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Pavani Kasi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak dan mencederakan mangsa berusia 50 tahun berhampiran sebuah warung di Jalan Pudu pada pukul 10.30 malam, 12 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Iwanina Ibrahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala Gunasegaran tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 27 April ini sebagai tarikh sebutan untuk menjatuhkan hukuman. – UTUSAN










