Dua lelaki rompak guna senjata tiruan didakwa

Dua lelaki rompak guna senjata tiruan didakwa

Senjata tiruan
MUHAMMAD Taufiq Haiqal Edi Fazlee (kanan) dan Muhammad Ezkil Mohamad Nor (tengah) dibawa anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kuala Selangor di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dua lelaki termasuk seorang pelajar institusi kemahiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak dengan senjata tiruan, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Tertuduh, Muhammad Taufiq Haiqal Edi Fazlee, 22, dan Muhammad Ezkil Mohamad Nor, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik seorang lelaki tempatan iaitu wang tunai berjumlah RM700.

Kedua-dua tertuduh turut melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita warga tempatan melibatkan wang tunai RM600.

Perbuatan itu dilakukan di dua premis perniagaan di sekitar Pasir Penambang dan Tanjong Karang masing-masing pukul 5.30 pagi, 5 Ogos dan 6.45 pagi, 6 Ogos lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak dan Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam S. Muthuveeran yang mewakili dua tertuduh dalam mitigasinya memohon pengurangan bagi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah

“Kedua-duanya masing-masing pelajar yang masih menuntut di institusi kemahiran dan pekerja swasta. Mereka juga merupakan anak tempatan dan risiko untuk melarikan diri amat minimum,” katanya.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM10,000 dan RM8,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September depan.

Sementara itu, Muhammad Taufiq turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama Abdul Hanif Abdul Rahim, 27, di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam di bawah Seksyen 308 Kanun Keseksaan.

Mereka yang mengaku tidak bersalah itu didakwa mencuri beg tangan milik seorang wanita tempatan di dalam sebuah kedai di Bukit Rotan, pukul 2.13 petang, 31 Julai lalu.

Pada dua minggu lalu, tindakan tiga penyamun melakukan aktiviti jenayah menggunakan senjata tiruan dilapor berakhir apabila dicekup polis di sekitar daerah ini dan Teluk Intan, Perak.

Penahanan itu susulan laporan polis diterima daripada seorang pemilik perniagaan jual hasil laut di Pasir Penambang pada 7 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN