Umum segera siasatan Azam atau hilang kepercayaan rakyat

Umum segera siasatan Azam atau hilang kepercayaan rakyat

MUHAMMAD HISHAM MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu bersikap telus dalam menangani isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atau berisiko kehilangan kepercayaan rakyat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, sebarang kelewatan menjelaskan hasil siasatan melibatkan kes pemilikan saham mahupun ‘mafia koperat’ yang terkait, menunjukkan kerajaan tidak konsisten melaksanakan keadilan kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan selama ini sentiasa menegaskan integriti dalam pentadbiran negara, manakala SPRM pula merupakan institusi utama yang bertanggungjawab memastikan prinsip tersebut dilaksanakan secara tegas dan berkesan.

“Apabila kerajaan sendiri menekankan soal integriti dan tata kelola kepada rakyat, maka prinsip itu mesti diterjemahkan secara jelas dalam tindakan.

“Jika terdapat siasatan melibatkan mana-mana pihak termasuk individu dalam institusi penguatkuasaan, ia perlu ditangani secara telus supaya tidak menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang dilindungi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Jemaah Menteri memutuskan bahawa tindakan lanjut berhubung siasatan pemilikan saham oleh Azam akan dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet telah menerima dan membincangkan hasil laporan Jawatankuasa Khas yang menyiasat perkara itu.

Dalam pada itu, pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, ketelusan tetap penting bagi memastikan proses siasatan tidak dipersoalkan serta bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi kerajaan.

“Rakyat mahu melihat bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh seseorang.

“Jika benar ada kesalahan, maka tindakan perlu diambil. Tetapi jika tiada kesalahan, perkara itu juga perlu dijelaskan secara terbuka supaya tidak timbul keraguan,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan menangani isu berprofil tinggi seperti ini secara tegas dan terbuka hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN