Rumah Bangsa: Rakyat hanya terima UMNO jika buktikan kesungguhan

Rumah Bangsa: Rakyat hanya terima UMNO jika buktikan kesungguhan

Aminuddin Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat hanya akan menerima kesediaan UMNO untuk membuka pintu kepada semua bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung tanpa syarat sekiranya parti itu membuktikan kesungguhan secara nyata.

Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, UMNO perlu menunjukkan tindakan konkrit bagi membuktikan niat tersebut walaupun ada yang menganggap langkah itu sebagai helah politik atau kerana UMNO berada dalam keadaan terdesak.

Bagaimanapun katanya, hasrat tersebut juga mungkin mencerminkan kebenaran dan keikhlasan parti itu untuk bersatu.

“Tidak kisah apa orang lain kata, yang penting UMNO sudah mula sedar kepentingan kesatuan. Cuma sebelum rakyat boleh menerima kesediaan UMNO ini, parti perlu membuktikannya secara zahir.

“Selagi UMNO tidak menunjukkan kesungguhannya secara nyata, sukar untuk rakyat menerima kembali UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aminuddin berkata, pimpinan UMNO perlu bertindak tegas terutama dalam isu-isu yang menjejaskan agama dan bangsa Melayu, termasuk ketegasan terhadap DAP dan Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat perlu melihat bukti sebelum mempercayai niat UMNO. Umpamanya, pimpinan parti perlu berani dan tegas dalam perkara yang menjejaskan agama dan bangsa. Renungkanlah,” katanya.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy Jamaluddin, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.

Antara kesalahan mereka ialah didakwa menjadi calon Bebas dan selain Barisan Nasional (BN) serta terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN