JOHOR BAHRU: Inisiatif Rumah Bangsa yang dimulakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berupaya mengembalikan kembali keyakinan masyarakat berbilang kaum di Malaysia terhadap kepemimpinan orang Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed sehubungan itu menyambut baik inisiatif tersebut dalam usaha mengembalikan kedudukan parti itu sebagai parti tonggak kerajaan, seperti sebelum ini.
“Kejayaan Malaysia (sebelum ini) adalah dengan adanya penyatuan orang Melayu, di mana keyakinan rakyat diberikan kepada kaum majoriti untuk mentadbir dan mengemudi negara.
“Namun selepas berlaku perpecahan sejak 2018 sehingga sekarang, Ahmad Zahid telah ambil pendekatan ini kerana realitinya hanya UMNO sahaja yang boleh menyatupadukan kembali orang-orang Melayu,” katanya kepada pemberita pada Program Raya Sekampung Bangsa Johor Zon Tampoi di Taman Dahlia, di sini malam tadi.
Tambah Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, kepemimpinan ditunjukkan parti tersebut menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) juga tidak pernah mengetepikan masyarakat bukan Melayu sepanjang tempoh mentadbir negara.
“Jika orang Melayu boleh pilih UMNO untuk mengetuai dan mendirikan Rumah Bangsa, itu akan menjadi fokus kita pada pilihan raya akan datang, kita akan lakukan ini tanpa menidakkan kaum lain.
“Jadi usaha ini khas untuk menyatukan orang Melayu agar akhirnya keyakinan rakyat seluruh negara akan kembali semula kepada orang Melayu untuk menjadi tonggak negara ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang kepulangan beberapa nama besar dalam UMNO akan mengurangkan peluang golongan muda untuk menjadi calon dalam pilihan raya, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada kepemimpinan.
“Presiden akan lihat kemampuan semua pihak untuk itu, kita sudah lihat berkali-kali ramai calon muda diperkenalkan, jadi saya yakin perkara itu akan terus kekal,” katanya. – UTUSAN










