JOHOR BAHRU: Polis negeri ini telah membuka siasatan melibatkan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai anak kepada Nabi Adam dan Hawa yang telah dihidupkan kembali.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, hantaran media sosial dibuat individu itu turut mengandungi unsur fitnah, penghinaan, serta dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja Johor dan pihak berkuasa.
Menurut beliau, hantaran berkenaan berpotensi menjejaskan akidah umat Islam dan mengganggu ketenteraman awam.
“Polis telah mengambil tindakan lanjut terhadap perkara ini dan satu pertemuan telah diadakan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan penyelarasan tindakan serta penelitian dari sudut akidah dan syariah.
“Kerajaan Negeri tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyebaran ajaran yang boleh menyelewengkan akidah umat Islam serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Fared, meminta orang ramai agar terpedaya atau menyebarkan kandungan media sosial tersebut sebaliknya sentiasa merujuk pihak berkuasa khususnya dalam hal berkaitan agama.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa dirinya telah dipinjamkan tubuh badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.
Menerusi satu akaun TikTok, wanita tersebut dilihat telah membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam termasuk mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa. – UTUSAN










