PARLIMEN: Ajaran sesat di alam maya dan tertutup, sukarkan penguatkuasaan

PARLIMEN: Ajaran sesat di alam maya dan tertutup, sukarkan penguatkuasaan

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyebaran ajaran sesat di negara ini kini beralih daripada pertemuan fizikal kepada penggunaan media sosial dan aplikasi mesej tertutup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, aktiviti penyebaran fahaman sesat bergerak bebas merentasi sempadan sekali gus menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguat kuasa.

Katanya, kumpulan terbabit juga semakin licik apabila berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif dan pengajian agama tidak formal bagi menarik pengikut.

“Malah, sesetengah fahaman ini tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas, sebaliknya berlatarkan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) meminta menteri menyatakan kekangan kerajaan bagi menangani penularan
ajaran sesat di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bagi menangani ancaman itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa agenda pengukuhan akidah dalam kalangan orang awam bukanlah satu perkara yang bermusim.

“Oleh yang demikian, kerajaan mengingatkan orang awam dan semuanya agar berusaha memperkukuhkan akidah melalui kelas pengajian agama yang berautoriti di masjid, surau-surau dan institusi di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN