PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkembangan kes membabitkan penahanan 288 individu yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang maklumat lanjut diberikan.
“Saya kena siasat dulu dan dapatkan maklumat,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian keyika diminta mengulas mengenai perkembangan kes ajaran sesat itu termasuk sebarang tindakan yang telah diambil.
Pada 31 Mei lalu, media melaporkan seramai 288 individu yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani ditahan melalui tindakan penguatkuasaan secara bersemuka, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Sabah.
Ketika di Dewan Rakyat Julai lalu, Zulkifli berkata, penyebaran ajaran sesat di alam maya dan dijalankan secara tertutup atau berselindung di sebalik program lain menjadi antara cabaran kepada usaha kerajaan mengekang ajaran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng.
Bagaimanapun beliau berkata, evolusi digital membawa cabaran baharu, yang mana ajaran sesat kini berubah daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan platform media sosial dan aplikasi mesej tertutup. – UTUSAN











