300 pengikut ajaran sesat ditahan di Likas

300 pengikut ajaran sesat ditahan di Likas

SEBAHAGIAN individu yang ditahan pihak berkuasa dalam serbuan satu program dianjurkan di Dewan Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Likas, Kota Kinabalu, Sabah semalam. - GAMBAR IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 300 individu dipercayai pengikut ajaran sesat ditahan pihak berkuasa dalam satu program dianjurkan di Dewan Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Likas, dekat sini, semalam.

Serbuan yang dijalankan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama pihak polis itu dibuat susulan aduan awam berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang sudah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Katanya, fatwa itu dibuat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah dan diwartakan pada tahun 2007.

“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa barangan dirampas termasuk 24 helai gegantung yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani.

Turut dirampas sebanyak 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran sesat, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS. Mereka akan dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang selepas selesai siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

“Orang ramai juga diminta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang diajar dan disebarkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN