JOHOR BAHRU: Ketiga-tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan bersabit hantaran media sosial dipercayai mengandungi unsur hasutan, fitnah, menghina agama Islam, perdana menteri dan institusi diraja adalah ahli keluarga.
Sumber keluarga itu yang enggan dikenali memberitahu, suspek lelaki dan wanita dewasa merupakan adik beradik manakala suspek wanita remaja adalah anak kepada suspek wanita dewasa.
Menurutnya, suspek wanita berusia 49 tahun mula berubah sikap sejak 2015 setelah kembali daripada melakukan umrah.
“Dia yang pertama berubah, sebelum dia menghasut adik lelakinya yang berusia 41 tahun dan anak perempuannya yang berusia 17 tahun untuk ikut serta dengan kefahaman barunya itu. Ahli keluarga lain yang tidak menyokong mereka terus dipulaukan.
“Perkara ini sudah berlarutan sejak 2015 lagi, ahli keluarga sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Memang kami malu perkara ini terjadi tetapi saya harap tindakan undang-undang dapat menghalang mereka daripada menjadi lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber, ahli keluarga suspek menyokong tindakan pihak berkuasa untuk menghentikan perbuatan suspek yang dibimbangi akan menjejaskan kefahaman agama serta akidah mana-mana individu awam lain.
“Ahli keluarga harap perbuatan mereka akan dikenakan tindakan tegas, semoga dengan tindakan itu rawatan perubatan termasuk psikiatri dapat diberikan kepada mereka agar mereka kembali pulih seperti sediakala.
“Suspek wanita sebelum ini bekerja dengan sebuah agensi pengurus umrah manakala suspek lelaki pula adalah noja sebuah masjid,” katanya yang kini berusia 51 tahun.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, antara kandungan hantaran media sosial yang dibuat pihak berkenaan mendakwa Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta Perdana Menteri menerima pendapat mereka untuk membuat teks ucapan.
“Suspek turut membuat kandungan yang menyentuh sensitiviti agama termasuk menyatakan solat fardhu hanya dua rakaat manakala solat sunat satu rakaat selain mendakwa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terlibat salah laku dan rasuah,” katanya. – UTUSAN










