SHAH ALAM: Lelaki dipercayai adik kepada seorang selebriti yang sebelum ini didakwa terlibat dengan amalan ritual agama bukan Islam ditahan pihak berkuasa, tengah hari tadi.
Penahanan individu berusia 21 tahun bersama ibunya berusia 51 tahun itu dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, individu bernama Aliff Daniel itu ditahan bersama ibunya selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
“Berdasarkan risikan JAIS, selepas kes melibatkan kedua-dua individu itu tular, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua orang yang disyaki itu kini disiasat oleh JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau kemudian menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan dan melengkapkan siasatan.
“JAIS memandang serius perkara ini dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” ujarnya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan penyelarasan tindakan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri serta polis sedang dilakukan susulan isu tular beberapa rakaman video di media sosial yang didakwa memperlihatkan individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, Jakim turut memanjangkan laporan berhubung perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri untuk semakan dan siasatan lanjut. – UTUSAN











