Perkasa kesedaran awam elak jerat scam

Perkasa kesedaran awam elak jerat scam

ANWAR Ibrahim menandatangani plak perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2, MCMC di Cyberjaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program kesedaran awam ditingkatkan bagi memastikan rakyat tidak mudah terjerumus menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu adalah amanat ringkas Perdana Menteri disampaikan kepada petugas Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) di sini, semalam.

Mesej utama itu disampaikan Perdana Menteri selain tindakan penguatkuasaan dan pemantapan operasi oleh NSRC.

“Perdana Menteri menekankan pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat (jadi mangsa).

“Kadang-kadang kita didorong sikap tamak ataupun tawaran-tawaran yang dianggap sebagai sangat lumayan hasilnya kalau ikut serta,” katanya ditemui selepas pelancaran pusat operasi NSRC oleh Perdana Menteri, di sini semalam.

Kerajaan bukan sahaja memperkukuh operasi dan koordinasi antara agensi, malah turut mengambil langkah meminda peruntukan undang-undang mengekang jenayah siber.

Pindaan undang-undang melalui Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa sejak Oktober 2024 membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang merelakan akaun mereka digunakan sebagai instrumen kewangan atau pembayaran oleh sindiket penipuan.

“Sebelum ini pemilik akaun yang menumpangkan akaun mereka sukar diambil tindakan. Kini, jika seseorang itu dengan pengetahuan sendiri membenarkan akaunnya digunakan, ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Saifuddin berkata, sindiket penipuan kewangan dalam talian hanya mengambil masa antara tiga hingga 10 minit bagi melesapkan 80 hingga 90 peratus duit mangsa dalam akaun bank menerusi keldai akaun.

Katanya, siasatan mendapati, sindiket penipuan dalam talian telah mempersiapkan proses penipuan dengan begitu teliti sekali tanpa disedari mangsa.

“Ada kes mangsa hanya sedar selepas berkongsi akaun sekitar pukul 2 petang dan memaklumkan kepada pusat ini sekitar pukul 10 hingga 12 malam.

“Jadi, dalam tempoh sekitar 10 jam, cukup melesapkan sehingga 80 peratus wang dalam akaunnya,” katanya.

Satu jam pertama selepas aduan mangsa itu penting membolehkan tindakan segera dibuat pusat itu termasuk menyekat aktiviti penipuan.

“Satu jam pertama itu paling kritikal membolehkan kita segera bertindak.

“Menerusi NSRC, sebaik aduan dibuat langkah pertama diambil pusat itu ialah ‘sekat’, ‘siasat’ dan seterusnya ‘pulangkan’. Ini (tindakan segera) akan menjadi kayu ukur terhadap keberkesanan pusat ini,” katanya.

Sebanyak 146,167 panggilan aduan scam dalam talian dikendalikan NSRC sepanjang tahun lalu dan dalam tempoh sama, ia telah melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun yang terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN