PETALING JAYA: Pas menegaskan tidak perlu memberikan penjelasan mengenai penglibatan pemimpinnya dalam Langkah Bangkok kepada rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam mesyuarat tertinggi yang dijualkan hari ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya tidak wajar dipersoalkan dalam isu berkenaan, sebaliknya perhatian harus diberi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai wakil terlibat dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya lihat tiada keperluan dan ia telah menjadi perkara akademik. Bersatu perlu menyoal wakil mereka sendiri,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Pas perlu memberi penjelasan tentang individu daripada parti itu yang terlibat dalam Langkah Bangkok yang didakwa mempunyai kaitan dengan percaturan politik tertentu.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat PN dan ia amat penting bagi memastikan kepercayaan komponen terhadap parti itu tidak terjejas.
Justeru beliau akan membangkitkan persoalan mengenai Langkah Bangkok pada Mesyuarat Tertinggi PN, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perancangan dibuat bekas timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain.
Pertemuan tersebut disahkan Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO di mana antara perbincangan tersebut adalah berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam.
Susulan itu, Hamzah berkata, pertemuan di Bangkok turut melibatkan wakil parti lain termasuk pemimpin Pas, namun Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan terlibat dalam pertemuan tersebut. – UTUSAN











