Pas sedia ambil alih jawatan ketua pembangkang

Pas sedia ambil alih jawatan ketua pembangkang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas sedia mengambil alih jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin jika diberi mandat oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersikap terbuka dalam perkara berkenaan untuk menerima sesiapa sahaja yang dipilih memegang jawatan itu termasuk calon daripada parti tersebut.

“Terpulang kepada perbincangan ahli-ahli Parlimen kerana kita hendak kuatkan Perikatan Nasional (PN), bukan nak kecilkan.

“Pas ada calon dan kita bersedia kalau ahli Parlimen cadang siapapun, kita akan terima. Yang penting nak kuatkan PN,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, semalam.

Beliau ditanya pandangan keperluan Pas menamakan ahli Parlimennya sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Hamzah untuk mengekalkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN.

Sebelum ini, media melaporkan isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dipecat dari parti itu.

Abdul Hadi berkata, peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan hak ahli-ahli Parlimen untuk menentukan siapa dipilih menjadi ketua pembangkang.

Justeru itu, kata beliau, pemilihan calon bagi mengisi jawatan itu bukan hanya mengambil kira pandangan parti-parti pembangkang tetapi mesti melibatkan ahli-ahli Parlimen blok ber­kenaan.

Katanya, Mesyua­rat Tertinggi PN yang pertama kali dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini dijangka menyentuh isu ketua pembangkang selain pelantikan-pelantikan lain da­lam gabungan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×