PETALING JAYA: Kaedah pelepasan imigresen seperti penggunaan pasport fizikal di kaunter, pintu pagar automatik dan pengesanan biometrik masih lagi dikekalkan ketika ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah justeru menjelaskan penggunaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang akan berkuatkuasa di pintu masuk negara pada awal suku kedua tahun ini tidak diwajibkan bagi semua pengguna.
Katanya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan rakyat dan pengembara mempunyai pilihan selaras dengan keperluan masing-masing.
” Bagi aplikasi MyBoarderPass pula, pelaksanaannya sebelum ini adalah sebagai langkah sementara melalui pendekatan proof of concept (POC) bagi menangani kesesakan di pintu masuk negara,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yes mengenai dakwaan sistem MyNIISE yang akan diwajibkan pada tarikh tertentu dan penggantian system MyBoarderPass.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, tiada sebarang tarikh rasmi menetapkan penggunaan aplikasi tersebut sebagai mandatori dan kerajaan akan melaksanakan peluasan penggunaan secara berfasa bagi memastikan pengurusan imigresen lebih teratur. – UTUSAN









