GEORGE TOWN: Usaha menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terus dipergiat menerusi pengenalan sistem ‘auto-gate’ baharu, zon pengambilan e-hailing serta pelaksanaan sistem imigresen berasaskan kod QR, Malaysia National Integrated Immigration System (MyNIISe).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, langkah itu dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang serta memberi pengalaman lebih lancar kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang tiba di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya baru-baru ini telah mengadakan sesi taklimat bersama pemain industri pelancongan bagi berkongsi perkembangan terkini berkaitan projek pembesaran LTAPP.
“Taklimat ini penting kerana pengusaha hotel, operator tarikan pelancongan, pemandu pelancong serta ejen pelancongan merupakan barisan hadapan dalam menyambut kehadiran pelawat ke Pulau Pinang.
“Maklumat mengenai kemajuan projek pembesaran dan naik taraf kemudahan lapangan terbang perlu disampaikan kepada industri supaya mereka dapat memberikan penerangan tepat kepada pelawat,” katanya di sini, hari ini.
Hon Wai berkata, dalam taklimat itu, pihaknya dimaklumkan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bahawa projek pembesaran lapangan terbang tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa utama.
“Fasa pertama melibatkan bangunan sokongan serta kerja berkaitan kini mencapai kemajuan sebanyak 98 peratus, diikuti oleh fasa kedua yang melibatkan pembinaan apron serta kemudahan bahagian udara atau ‘airside’ sebanyak 54 peratus.
“Sementara itu, fasa ketiga yang melibatkan pembinaan bangunan terminal utama serta kerja berkaitan bagaimanapun masih belum dimulakan buat masa ini,” katanya.
Sistem ‘auto-gate’ imigresen itu ketika ini boleh digunakan oleh pelancong dari 73 negara dan wilayah bagi pelepasan serta 65 negara dan wilayah bagi ketibaan manakala zon pengambilan e-hailing baharu yang diwujudkan di aras bawah bangunan tempat letak kereta pula bertujuan memudahkan pelawat mendapatkan perkhidmatan pengangkutan. – UTUSAN










