Air pasang besar luar biasa badai California, premis banjir

Air pasang besar luar biasa badai California, premis banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Fenomena cuaca Super El Niño mencetuskan air pasang besar luar biasa di sepanjang pantai California, menyebabkan air laut melimpah ke kawasan komuniti pesisir pantai serta membanjiri jalan raya dan premis perniagaan.

Ketika ombak besar menghempas pantai, hujung sebuah jeti terkenal di Pacifica, selatan San Francisco runtuh ke laut, menurut laporan media tempatan.

Jeti itu yang pernah menempatkan sebuah kafe kegemaran penduduk sebelum ini mengalami kerosakan struktur dan ditutup kepada orang ramai, menurut San Francisco Chronicle, sebelum runtuh selepas dipukul ombak laut yang 12 kali lebih kuat berbanding hari biasa pada November.

Memuatkan artikel berkaitan…

Los Angeles dan Santa Barbara mencatatkan fenomena air pasang laut tertinggi pada Rabu, masing-masing mencecah 2.5 meter (m), menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Bandar Monterey menutup beberapa pantai kepada orang ramai atas faktor keselamatan sehingga Jumaat, manakala pantai di daerah Santa Cruz turut ditutup.

“Walaupun matahari bersinar, pantai dan kawasan ombak masih berbahaya,” menurut amaran NWS San Francisco, yang memaklumkan ombak di sekitar kawasan Teluk San Francisco mencapai ketinggian sehingga 7.3m.

Gabenor California, Gavin Newsom berkata, kejadian banjir dan air pasang besar itu merupakan gambaran awal mengenai keadaan yang mungkin berlaku pada masa depan.

“Ini adalah gambaran awal tentang apa yang bakal berlaku. Sebab itu penting untuk kita bukan sekadar menangani situasi semasa dan mengimbas kejadian seperti ini, tetapi juga mencari penyelesaian secara berterusan terhadap punca masalah,” katanya pada sidang media di San Francisco.

Di Pacifica, ombak besar dan air pasang melimpah ke pantai serta jeti, selain membanjiri jalan pesisir termasuk Lebuhraya 1 berhampiran restoran Taco Bell Cantina yang terkenal sebagai antara cawangan paling mewah di AS.

Beberapa rumah di kawasan pesisir Sunset Beach, daerah Orange turut dilanda banjir, menurut Los Angeles Times. Namun, seorang ketua bomba tempatan berkata, kerosakan keseluruhan dapat dikurangkan kerana pemilik rumah mengambil langkah perlindungan dengan lebih agresif sebelum kejadian.

Pihak berkuasa tempatan sudah membuat persiapan selama beberapa minggu bagi menghadapi risiko banjir yang boleh mengganggu perjalanan semasa minggu Thanksgiving, antara tempoh paling sibuk dalam setahun.

Pakar memberi amaran risiko banjir dijangka semakin buruk dalam tempoh dua bulan akan datang.

Risiko banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco (SFO), hab pengangkutan utama yang terletak di kawasan pesisir rendah menjadi antara kebimbangan utama.

Sekurang-kurangnya tiga syarikat penerbangan menawarkan perubahan perjalanan secara percuma kepada penumpang yang melalui San Francisco pada Rabu.

Pejabat perkhidmatan kecemasan California mengerahkan anggota dan peralatan ke seluruh negeri bagi membantu menangani kesan cuaca, manakala pasukan di kawasan Teluk San Francisco dilihat menyediakan beg pasir untuk melindungi bangunan daripada banjir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini