Air pasang besar tolak pasir ke dalam rumah

Air pasang besar tolak pasir ke dalam rumah

PENDUDUK menunjukkan pasir yang memenuhi rumah mereka akibat kejadian air pasang besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Fenomena air pasang besar disertai ombak tinggi sejak Jumaat lalu menyebabkan 25 keluarga di Kampung Huma dan Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai di sini resah memikirkan keselamatan diri dan harta benda masing-masing.

Kerisauan mereka semakin ketara apabila ombak besar pagi semalam turut membawa pasir yang menghempas dinding dan air laut melimpah memasuki rumah, menyebabkan banyak perkakas rosak.

Hampir keseluruhan rumah di dua kampung berkenaan yang terletak di pesisir pantai Tanjung Dawai terjejas sehingga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Penduduk, Rozita Johari, 43, berkata, dia mula tidak sedap hati apabila melihat air laut di belakang rumahnya di Kampung Huma bertukar hitam dan bergerak laju semasa angin kencang pagi semalam.

“Ketika itu saya bersama tiga anak dan seorang menantu sedang bersiap untuk ke tempat kerja yang mana cuaca sedang hujan disertai angin kuat.

“Bimbang sesuatu yang buruk, kami mengemas dokumen penting dan mengangkat barang ke tempat lebih tinggi, tidak sampai setengah jam kemudian air pasang besar yang disertai ombak mula membadai rumah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Limpahan air turut membawa pasir sehingga ke dalam rumah.

Nelayan, Mohd. Razi Nayan, 58, berkata, angin monsun kali ini berbeza apabila menyebabkan air pasang besar luar biasa bersama ombak tinggi.

“Air laut bertukar hitam dan membawa banyak pasir dan lumpur. Rumah saya rosak apabila dinding di bahagian dapur dibadai ombak, selain banyak perkakas terendam air dalam kejadian pukul 11.20 pagi semalam,” katanya.

Penduduk, Maimunah Hassan, 71, berkata, angin luar biasa menyebabkan ombak tinggi menghentam dinding sebelum air laut masuk ke rumah.

Dia dan suami, Ramli Rejab, 72, hanya berdoa agar angin berhenti bagi mengelakkan ombak menolak air pasang ke daratan.

Sementara itu 47 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pial yang dibuka pukul 4 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN