BALIK PULAU : Seorang lelaki warga China didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri dompet di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), minggu lepas.
Tertuduh, Chen Bangjun, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang pesara didakwa cuba mencuri sebuah dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki antara pukul 9.25 pagi hingga 10 pagi di LTAPP, Bayan Lepas pada 17 September lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama kerana cuba melakukan kesalahan mencuri.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan cubaan mengikut Seksyen 511 pula, hukuman penjara yang dikenakan adalah tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan berkenaan.
Ketika prosiding, peguam tertuduh, Teh Yi Kai memohon hukuman denda minimum dikenakan atas alasan anak guamnya sudah bersara, berkeluarga serta insaf atas perbuatannya selepas direman sejak 17 September lalu.
Tambah Yi Kai, kejadian itu juga tidak mengakibatkan sebarang kerugian kepada mangsa kerana perbuatan tertuduh hanya pada peringkat percubaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar bagaimanapun mahu mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada tertuduh atau dia berdepan hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.-UTUSAN











