JOHOR BAHRU: Pengoperasian penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dijangka mengurangkan gangguan urusan keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Stesen Bukit Chagar apabila perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) mula beroperasi 1 Januari tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gangguan yang sebelum ini kerap dilaporkan berlaku di sempadan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini susulan penggunaan sistem lama iaitu Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
“Kita sedia maklum semua pintu masuk negara guna pakai sistem berdekad usianya, pertukaran sistem daripada MyIMMs kepada MyNIISe adalah satu projek mega. Hakikat penggunaan sistem baharu ini bermakna gangguan dahulu akan menjadi sejarah lampau.
“Ya sistem baharu juga mungkin akan berlaku glitches atau gangguan teknikal kecil, namun itu perkara biasa. Ketika ini MyNIISe sudah ditahap akhir pelaksanaannya untuk ganti sistem lama yang kerap bermasalah di BSI,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak ICQS Stesen Bukit Chagar dan RTS Link, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Pengoperasian penuh MyNIISe itu serentak dengan perkhidmatan RTS Link.
Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut meluluskan sebanyak 794 waran perjawatan dengan AKPS menjadi komponen terbesar iaitu melibatkan sebanyak 640 perjawatan.
“Seramai 47 perjawatan kastam manakala 107 yang lain polis. Sekarang proses pengisian sedang dibuat berperingkat dengan 478 pegawai lantikan baharu akan mula menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat bermula 22 Jun hingga 27 September tahun ini.
“Selepas itu mereka akan mengikuti latihan operasi di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) terlebih dahulu sebelum ditempatkan di ICQS Stesen Bukit Chagar bermula 1 Oktober ini,” katanya.
Pihaknya komited memastikan bukan sahaja pergerakan aliran pengembara lancar dan terkawal, tetapi juga aspek keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“ICQS ini akan beroperasi secara co-located, dimana pihak berkuasa Malaysia dan Singapura berada bersama-sama di bangunan ini. Jadi aspek keselamatan menjadi keutamaan kami, ini penting kerana fasiliti ini bukan sekadar infrastruktur tetapi juga melibatkan undang-undang dan regulasi dua negara berdaulat.
“Dalam soal ini, kita dan Singapura berada pada tahap koordinasi terbaik, disiplin organisasi terbaik dan yang paling penting kepercayaan yang terbaik antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN










