PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas sebuah sekolah di Minab, selatan Iran.
Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, insiden berkenaan merupakan satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta diklasifikasikan sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva yang secara jelas melindungi orang awam, institusi pendidikan serta infrastruktur bukan ketenteraan ketika konflik bersenjata.
“Dunia tidak boleh mengelak daripada berdepan persoalan moral yang amat mendasar adakah ini yang dimaksudkan dengan ‘membebaskan Iran’?” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan penggunaan kekerasan ketenteraan secara sengaja mengakibatkan korban besar dalam kalangan orang awam, khususnya kanak-kanak, tidak boleh sama sekali dibenarkan atas apa jua alasan keselamatan atau strategi geopolitik.
“MAPIM menekankan bahawa kepimpinan politik yang memberi kebenaran terhadap tindakan ketenteraan agresif perlu memikul tanggungjawab langsung terhadap segala akibatnya.
“Pentadbiran AS di bawah Presiden Donald Trump bersama Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang serangan yang melanggar undang-undang antarabangsa sehingga mengorbankan nyawa orang awam serta memusnahkan kemanusiaan,”katanya.
Beliau berkata, konflik tersebut berisiko menggugat kestabilan rantau berkenaan dan berpotensi mencetuskan konflik lebih besar dengan implikasi global, termasuk ancaman terhadap keselamatan antarabangsa, kestabilan ekonomi serta keselamatan orang awam di pelbagai negara.
Azmi menggesa komuniti antarabangsa untuk segera bertindak, antaranya dengan menubuhkan siasatan antarabangsa bebas di bawah kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menuntut pemberhentian serta-merta serangan ke atas infrastruktur awam.
“Penguatkuasaan undang-undang antarabangsa secara terpilih hanya akan meruntuhkan kredibiliti sistem global. Keadilan mesti dilaksanakan tanpa mengira kuasa politik.
“Serangan terhadap orang awam, sama ada di Iran, Gaza atau mana-mana lokasi lain, merupakan pelanggaran prinsip moral sejagat dan norma undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










