KOTA KINABALU: Keputusan mengekalkan pemberian diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter untuk rakyat Sabah dan Sarawak membuktikan kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat di dua negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Mustapha Sakmud berkata, rakyat di Sabah dan Sarawak terus menikmati akses kepada bahan api bersubsidi dengan kadar penggunaan terkawal.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan turut melaksanakan inisiatif BUDI95 yang menawarkan harga RM1.99 seliter dengan had 200 liter sebulan bagi meringankan beban rakyat.
“Langkah ini diambil dalam keadaan kos sara hidup dan kos logistik di Sabah dan Sarawak yang kekal tinggi berikutan faktor geografi serta cabaran infrastruktur.
“Sebarang perubahan dasar berkaitan bahan api akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat serta aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustapha berkata keputusan itu juga membuktikan kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira keperluan rakyat di Borneo dengan mempertimbangkan keunikan geografi, kos logistik serta cabaran pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.
Katanya, penggunaan diesel yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak turut menjadi faktor penting dalam pertimbangan dasar itu.
“Dalam pelaksanaan dasar ini, adalah penting untuk semua pihak termasuk pengguna, pengusaha industri dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan dasar ini berjalan dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan rakyat Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan dasar terbabit.
Semalam, media melaporkan Anwar mengumumkan Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga bahan api di pasaran meningkat. – UTUSAN










