PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kontingensi serta mekanisme pelarasan yang lebih jelas untuk menghadapi turun naik harga minyak, tanpa menjejaskan sasaran konsolidasi fiskal dalam Belanjawan 2027.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kerajaan perlu menyerap kejutan secara bersasar dan bukannya menyerap kenaikan harga secara menyeluruh.
Katanya, jika harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (RM407.70) setong, kerajaan mungkin berdepan peningkatan jurang subsidi, khususnya bagi petrol, diesel dan kos pengangkutan awam.
“Kenaikan harga minyak dunia berpotensi meningkatkan tekanan terhadap fiskal kerajaan, terutama jika kerajaan perlu mengekalkan harga bahan api domestik pada paras yang rendah untuk melindungi kos sara hidup.
“Namun, pendekatan subsidi bersasar memberi kerajaan ruang untuk mengurus kejutan ini dengan lebih berdisiplin berbanding subsidi pukal.
“Pada pandangan saya, cabarannya ialah memastikan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan, sementara kos subsidi tidak berkembang secara terbuka apabila harga minyak global meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Sedek berkata, kesan kenaikan harga minyak kepada Malaysia bukan hanya melalui harga petrol dan kos pengangkutan, tetapi juga melalui rantaian bekalan makanan.
Menurutnya, harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan kos logistik, tenaga, bahan mentah dan operasi perniagaan.
“Pada masa yang sama, gangguan tenaga dan peningkatan kos pengeluaran global boleh menyebabkan harga baja seperti urea, Diammonium Phosphate (DAP) dan Triple Superphosphate (TSP) turut meningkat.
“Harga DAP meningkat kepada sekitar AS$793.50 (RM3,235.15) setan pada Ogos 2026 berbanding AS$634.70 (RM2,587.63) setan pada suku pertama tahun ini, manakala harga TSP berada sekitar AS$704.40 (RM2,871.95) setan.
“Jika kos baja meningkat, petani berdepan kos input yang lebih tinggi, yang akhirnya boleh diterjemahkan kepada kenaikan harga hasil pertanian dan makanan,” ujarnya.
Oleh itu, beliau berkata, Belanjawan 2027 perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dengan menyediakan mekanisme untuk menyerap dan mengawal kesan limpahan harga minyak serta baja terhadap sektor pertanian dan keselamatan makanan.
Tambahnya, Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan relatif kerana kedudukan sebagai pengeksport bersih minyak dan gas, tetapi harga minyak tinggi ini bukanya keuntungan fiskal yang automatik.
Jelasnya, kenaikan harga Brent boleh meningkatkan hasil eksport petroleum, pendapatan syarikat berkaitan minyak dan gas serta kutipan hasil kerajaan melalui saluran tertentu.
“Ia juga boleh membantu mengukuhkan imbangan perdagangan dan menyediakan sedikit perlindungan kepada ringgit. Namun, manfaat tersebut perlu dinilai bersama kos yang meningkat, termasuk subsidi bahan api, pengangkutan, logistik, baja, bahan mentah dan sokongan kepada sektor yang terkesan.
“Persoalannya bukan sama ada hasil minyak meningkat, tetapi sama ada peningkatan hasil bersih itu mencukupi untuk menampung kos melindungi isi rumah dan perniagaan daripada kejutan harga.
“Jika harga minyak kekal tinggi terlalu lama, sebahagian daripada hasil tambahan petroleum mungkin hanya digunakan untuk menampung subsidi, inflasi dan kos operasi yang lebih tinggi. Jadi, Malaysia mempunyai penampan hasil, tetapi penampan itu tidak bermaksud ekonomi bebas daripada kesan negatif kejutan minyak,” katanya. – UTUSAN











