Kadar insurans kapal di Selat Hormuz naik 100%

Kadar insurans kapal di Selat Hormuz naik 100%

LAMAN web MarineTraffic yang memaparkan pergerakan kapal dagang di pinggir Selat Hormuz berhampiran pantai Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar premium insurans kapal yang beroperasi di kawasan Teluk dan Selat Hormuz dijangka meningkat sehingga 100 peratus susulan risiko keselamatan semakin tinggi berikutan konflik perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Kapten K. Subramaniam berkata, setiap kapal yang beroperasi di mana-mana laluan perairan wajib mempunyai perlindungan insurans bagi melindungi pelbagai risiko termasuk pelanggaran, pencemaran laut akibat kebocoran minyak serta kerosakan kepada kargo.

“Semua kapal mesti mempunyai insurans. Jika tiada perlindungan insurans, kapal tidak dibenarkan belayar atau memasuki mana-mana pelabuhan.

“Dalam isu di Selat Hormuz, mana-mana syarikat perkapalan yang ingin melalui kawasan tersebut berdepan peningkatan risiko yang dikenali sebagai risiko perang. Risiko tambahan ini akan dikenakan oleh syarikat insurans,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, sekurang-kurangnya enam kapal telah diserang di Teluk dan Selat Hormuz. di tengah-tengah konflik yang berlaku sejak AS‑Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Subramaniam berkata, keadaan tersebut menyebabkan syarikat insurans menuntut premium lebih tinggi bagi melindungi kapal yang melalui kawasan berisiko, sekali gus meningkatkan kos operasi syarikat perkapalan berbanding sebelum ini.

“Setakat ini kenaikan premium insurans bagi kapal melonjak sekitar 50 peratus secara rambang, namun kadar sebenar bergantung kepada beberapa faktor seperti saiz kapal, jenis kargo yang dibawa serta tahap risikonya.

“Sekiranya kapal membawa kargo berisiko tinggi seperti minyak atau gas, selain faktor usia kapal yang lebih lama, premium insurans berkemungkinan meningkat lebih tinggi dan dalam keadaan tertentu boleh mencecah sehingga 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ada syarikat yang mampu menanggung kos tambahan tersebut, faktor keselamatan anak kapal tetap menjadi keutamaan kerana sebarang risiko terhadap nyawa tidak dapat diganti dengan sebarang bayaran.

Subramaniam berkata, secara umum terdapat banyak syarikat perkapalan yang membuat keputusan untuk tidak melalui Selat Hormuz berikutan pelbagai risiko keselamatan termasuk kemungkinan terkena serangan balas dalam konflik yang berlaku ketika ini.

Katanya, di kawasan Teluk Parsi terdapat beberapa pelabuhan utama yang menjadi laluan perdagangan penting seperti Pelabuhan Jebel Ali di Dubai serta pelabuhan di Bahrain, Qatar, Kuwait dan Iraq.

“Susulan situasi tidak menentu itu, beberapa syarikat perkapalan telah membuat keputusan sama ada tidak memasuki kawasan tersebut atau menangguhkan perjalanan keluar. Malah terdapat kapal yang sudah berada di dalam kawasan Teluk tetapi masih belum dapat keluar.

“Saya difahamkan ketika ini terdapat lebih 100 kapal yang berada di sekitar laluan tersebut sama ada di luar atau di dalam selat berkenaan yang berdepan kesukaran untuk masuk atau keluar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN