JOHOR BAHRU: Seorang jurutadbir daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lima tuduhan memperdaya seorang warga emas untuk menyerahkan wang berjumlah RM62,760 bagi mempercepat permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di Rimba Terjun, Pontian, sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, jurutadbir Majlis Perbandaran Pontian itu didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 72 tahun untuk menyerahkan tiga keping cek dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM62,760 sebagai dorongan untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menguruskan permohonan membina bangunan dua tingkat di Mukim Rimba Terjun, Pontian.
Kesalahan dilakukan bapa kepada empat anak itu di sebuah premis di Batu 36, Jalan Johor, Pontian antara 19 November 2021 hingga 30 Mei 2022 di dakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarulzaman manakala tertuduh diwakili peguam Mazri Muhammad. UTUSAN










