PETALING JAYA: Pelakon, Ezzaty Abdullah berpendapat bahawa pencapaian seseorang ketika di bangku sekolah bukanlah satu ukuran kejayaan apabila sudah dewasa kelak.
Ezzaty Abdullah, 36, berkata, dia mempunyai rakan yang pernah berada di kelas belakang dan tidak pernah memenangi anugerah ketika sekolah rendah, namun kini berjaya memperoleh pekerjaan yang baik.
“Setuju. Kawan-kawan saya yang tidak pernah memenangi anugerah ketika sekolah rendah dan berada di kelas belakang pun ramai yang mempunyai pekerjaan bagus dan berjaya.
“Tiba-tiba sekarang ramai pula kerja bagus-bagus berjaya. Manusia berubah dan rezeki juga berubah,” katanya menerusi satu balasan komen di Threads.
Ezzaty berkongsi pandangan itu ketika mengulas mengenai seorang pengguna Threads yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan ibu bapa menghargai usaha anak-anak meskipun tidak cemerlang dalam akademik.
Untuk rekod, Ezzaty Abdullah memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2012 menerusi penampilan pertamanya dalam telefilem Asmara Beijing serta drama bersiri Friday I’m In Love.
Antara drama popular yang melonjakkan namanya termasuklah Delina, Hello, Mr. Perfect!, Uda & Dara, Mak Cun, Jika Masih Ada Rindu, dan KL Gangster: Underworld. – UTUSAN











