Dua penyanyi, seorang pelakon terima ijazah UPSI

Dua penyanyi, seorang pelakon terima ijazah UPSI

TOMOK (kiri), Anis Suraya dan Zulkifli Ismail (kanan) berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara APEL Q hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Dua penyanyi dan seorang pelakon terkenal negara membuktikan pengalaman dalam dunia seni menjadi landasan mencapai kejayaan dalam bidang akademik apabila masing-masing meraih Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Bagi penyanyi Tomok, Anis Suraya dan pelakon veteran, Zulkifli Ismail, kejayaan menyelesaikan pengajian secara APEL Q itu hasil usaha keras ketiga-tiga mereka untuk membuktikan kerjaya seni perlu seiring dengan peningkatan taraf pendidikan.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 42, keputusannya menyambung pengajian didorong untuk mengembangkan pengetahuan serta berkongsi pengalaman profesional dengan masyarakat khususnya mereka yang berminat menceburi industri muzik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya merasakan pengalaman selama 25 tahun dalam industri muzik boleh dijadikan sebagai panduan yang harus dikongsikan kepada orang ramai yang berminat dengan industri ini.

“Di samping itu, saya juga ingin mengukuhkan kedudukan dan keseimbangan dalam bidang akademik supaya pengalaman penggiat seni turut dihargai sebagai satu bentuk pembelajaran,” katanya di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Bandar Proton di sini hari ini.

Bagi Anis Suraya, 45, keputusan menyambung pengajian didorong keinginan memperkukuh pengetahuan dan memahami pengalaman profesional yang dikumpul sepanjang kerjaya seninya melalui pendekatan akademik yang lebih sistematik.

“Penglibatan sebagai pensyarah sambilan bagi kursus Seni Suara di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2018 turut menyedarkan saya tentang kepentingan penguasaan teori, metodologi dan pedagogi dalam pendidikan seni.

“Dorongan utama saya bukan semata-mata untuk memperoleh ijazah tetapi untuk memperluas keupayaan intelektual dan memperkukuh hubungan antara amalan profesional dengan pengetahuan akademik,” kata pemilik nama Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman ini.

Pelakon veteran, Zulkifli Ismail, 63, pula berpendapat, selepas empat dekad mewarnai industri lakonan tanah air menerusi lebih 300 produksi, dia dapat membuktikan pengalaman luas dalam bidang seni mampu diperkukuh dengan ilmu akademik.

“Keputusan melanjutkan pengajian didorong kesedaran bahawa bakat dan pengalaman semata-mata tidak mencukupi untuk membina kepakaran dalam bidang seni, sebaliknya perlu disertai ilmu bagi meningkatkan tahap pemikiran serta pemahaman terhadap bidang yang diceburi.

“Walaupun mempunyai banyak pengalaman, saya perlu mempertingkatkan tahap pemikiran. Untuk itu, saya perlu menambah ilmu. Bakat dan pengalaman sahaja tidak cukup. Seorang pelakon perlu ada ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini