Gaza: 30 kontena makanan akan dihantar

Gaza: 30 kontena makanan akan dihantar

SEORANG wanita mengambil air daripada sebuah tangki di khemah pelarian Bureij di tengah Gaza, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30 kontena bahan makanan akan dihantar segera ke Gaza susulan komitmen kerajaan Mesir memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan kepada rakyat wilayah bergolak itu melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini

Penghantaran menerusi kerjasama kerajaan Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan itu memfokuskan bantuan makanan tahan lama seperti makanan kering, pek beras dan daging di dalam tin.

Pegawai Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Luqman Zulkefli berkata, persediaan itu diambil bagi mengelakkan risiko bantuan rosak sekiranya dihalang oleh rejim Zionis daripada memasuki wilayah bergolak tersebut untuk tempoh yang lama.

Katanya, CGM juga tidak boleh mengambil risiko membawa masuk bahan mentah yang mempunyai tarikh luput yang singkat berikutan ketidaktentuan proses pelepasan di sempadan.

“Walaupun barangan mentah masih boleh didapati di dalam Gaza, harganya amat mahal berdasarkan laporan pasukan kami yang masih berada di sana untuk memantau keadaan semasa.

“Bantuan yang dihantar itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan keseluruhan penduduk namun kami cuba laksanakannya secara berfasa.

“Urusan pelepasan untuk masuk ke Gaza amat rumit dan memerlukan perbincangan te­liti di peringkat antara kerajaan (G2G),” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi telah memberikan komitmen untuk memberikan jaminan memudahkan kemasukan 374 tan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April.

Sementara itu, Haikal Luqman berkata, sekatan menyeluruh oleh rejim Zionis di pintu-pintu masuk utama termasuk pintu komersial di Rafah dan Kerem Shalom kekal menjadi halangan terbesar bagi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Walaupun berlaku konflik yang menjejaskan rantau Asia Barat, kita masih bergantung harap kepada kerajaan Mesir yang mengawal sempadan Rafah, serta kerajaan Jordan yang membantu memudahkan laluan dari Tebing Barat ke pintu utara Gaza.

“Rejim Zionis pastinya tidak bersetuju dan akan terus menyekat usaha ini, namun kita meletakkan kepercayaan penuh kepada kepimpinan Mesir dan Jordan untuk memastikan kelancaran urusan agar bantuan ini benar-benar sampai ke tangan penduduk di bumi Gaza,” katanya.

Tambahnya, selain keperluan asas, krisis yang paling kritikal dihadapi oleh rakyat Palestin ketika ini adalah ketiadaan tempat perlindungan yang selamat daripada ancaman bom dan artileri rejim Zionis yang berterusan.

“Hampir 95 peratus penduduk kehilangan tempat ber­teduh berikutan kemusnahan sepenuhnya kawasan perumahan.

“Keadaan itu memaksa 90 peratus daripada mangsa yang terselamat kini bersesak di khemah-khemah sementara di sepanjang pesisir pantai Gaza tanpa saudara-mara yang telah terkorban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN