Malaysia sedia bantu negara ASEAN dilanda bencana

Malaysia sedia bantu negara ASEAN dilanda bencana

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana termasuk menyokong usaha menggerakkan misi bantuan kemanusiaan secara bersama ke negara di luar rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi berkenaan boleh digerakkan atas permintaan negara terjejas dengan mengambil kira keperluan di lapangan serta kemampuan ASEAN.

Beliau berkata, pelaksanaan bantuan itu juga perlu menghormati kedaulatan negara berkenaan dan berlandaskan prinsip kemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, latihan bersama akan dimanfaatkan bagi menguji mekanisme perkongsian maklumat, permohonan bantuan serta penyelarasan penyalurannya kepada komuniti terjejas.

“Setiap amaran awal mesti disusuli tindakan yang telah dipersetujui sebelum bencana melanda.

“Pada saat amaran dikeluarkan, agensi yang terlibat mesti sudah tahu bila pemindahan perlu dimulakan, siapa yang menyediakan pengangkutan dan membuka pusat pemindahan, serta bagaimana dana kecemasan dapat digerakkan segera,” katanya.

Komitmen itu disampaikan Ahmad Zahid ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di Jakarta, Indonesia hari ini.

Menurutnya, Malaysia sedang memperkukuh kesiapsiagaan bencana menerusi pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Katanya, Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan risiko setempat diambil kira dalam menentukan lokasi pembangunan, reka bentuk infrastruktur dan usaha melindungi perkhidmatan asas, selain melibatkan komuniti dalam menguji pelan pemindahan.

Dalam perkembangan lain, katanya, Malaysia menyokong cadangan memperkukuh kerjasama di peringkat menteri menerusi AMMDM Plus bersama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand termasuk menerusi latihan teknikal, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi.

Malaysia juga menyampaikan hasrat untuk meneruskan sumbangan sebanyak AS$100,000 kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi menyokong peranannya menyelaras bantuan bencana di rantau ini.

Sementara itu, dalam perkembangan kesiapsiagaan banjir negara, beliau berkata, ramalan awal risiko banjir di Kelantan diperluas daripada empat kepada lapan jajahan sehingga 27 November ini, manakala dua stesen Sungai Langat di Selangor telah melepasi paras Bahaya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi menyelaras operasi bersama jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah, selain meningkatkan persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) serta aset operasi.

“Mangsa banjir yang tidak sempat mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) masih boleh berbuat demikian melalui Pusat Pendaftaran Mangsa (PPM) selepas PPS ditutup, tertakluk kepada pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini