PETALING JAYA: Ambest Group Berhad (Ambest) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 64.1 peratus kepada RM5.64 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026), berbanding RM3.44 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan itu didorong permintaan pelanggan yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah kumpulan sebanyak RM33.45 juta, meningkat 37.8 peratus berbanding RM24.28 juta pada suku kedua.
Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang mengkhusus dalam pemesinan jitu dan fabrikasi logam kepingan itu turut merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 63.9 peratus kepada RM6.85 juta berbanding RM4.18 juta pada suku sebelumnya.
Keuntungan kasar meningkat 38.4 peratus kepada RM8.84 juta, dengan margin keuntungan kasar sekitar 26.4 peratus.
Bagi segmen perniagaan, pemesinan jitu kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan menjana RM27.53 juta atau 82.3 peratus daripada jumlah pendapatan suku berkenaan.
Segmen fabrikasi logam kepingan pula menyumbang RM5.92 juta atau 17.7 peratus, manakala pendapatan sesaham bagi suku itu ialah 1.14 sen.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, Ambest merekodkan hasil kumulatif RM78.10 juta, keuntungan kasar RM22.16 juta, PBT RM12.24 juta dan PAT RM9.46 juta.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelarasan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah kira-kira RM3.56 juta yang diiktiraf pada suku pertama, PBT terlaras kumpulan mencapai RM15.80 juta manakala PAT terlaras berjumlah RM13.02 juta.
Pengarah Urusan Ambest Group Berhad, Tan Beng Beng berkata, prestasi suku ketiga itu mencerminkan perkembangan positif kumpulan dalam tahun pertama sebagai syarikat tersenarai, didorong peningkatan pesanan pelanggan serta pertumbuhan hasil dan keuntungan.
Katanya, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kumpulan mempercepatkan pengembangan kapasiti pengeluaran dengan memperuntukkan sebahagian hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk deposit pembelian 12 pusat pemesinan CNC empat paksi baharu.
Langkah itu diambil berbanding menunggu tempoh penghantaran lebih panjang bagi sebuah unit pemesinan CNC lima paksi yang dirancang sebelum ini.
“Pendekatan ini membolehkan kami menambah kapasiti pengeluaran lebih awal dan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan pelanggan apabila buku pesanan terus berkembang,” katanya.
Setakat 30 September 2026, Ambest telah menggunakan sepenuhnya hasil kasar IPO sebanyak RM27.50 juta, termasuk RM12 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM6.80 juta untuk modal kerja am dan RM3.90 juta bagi pembelian jentera baharu.
Daripada peruntukan pembelian jentera itu, RM1.25 juta digunakan untuk mendapatkan pusat pemesinan CNC empat paksi, manakala kira-kira RM2.65 juta diperuntukkan semula sebagai deposit 20 peratus bagi pembelian 12 unit baharu.
Kedudukan kewangan kumpulan turut bertambah baik apabila jumlah ekuiti meningkat kepada RM71.54 juta pada 30 September 2026 berbanding RM35.98 juta pada 31 Disember 2025.
Aset bersih sesaham meningkat kepada RM0.14 berbanding RM0.09, manakala baki tunai dan bank bertambah kepada RM7.26 juta daripada RM2.09 juta.-UTUSAN











