Gagal fahami aturan trafik punca rakyat Malaysia didenda

Gagal fahami aturan trafik punca rakyat Malaysia didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Kegagalan memahami peraturan jalan raya Thailand dikenal pasti antara punca utama rakyat Malaysia dikenakan tindakan undang-undang kesalahan trafik ketika berada di negara itu.

Seorang penduduk tempatan, Dollah, 45, berkata, kebanyakan pelancong dari Malaysia mela­kukan kesalahan bukan kerana sengaja, sebaliknya tidak arif dengan sistem parkir yang berbeza di bandar-bandar Thailand.

“Sebagai contoh peraturan parkir di negara ini tidak ha­nya bergantung kepada lokasi, sebaliknya turut ditentukan berdasarkan hari serta warna garisan di bahu jalan.

“Ramai rakyat Malaysia keliru. Di sini, ada hari boleh parkir di sebelah kiri dan ada hari di sebelah kanan, bergantung kepada tarikh genap atau ganjil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Dollah, warna ga­risan jalan juga memainkan peranan dan sekiranya tersalah parkir, kenderaan boleh dikunci tayar dan dikenakan denda.

Katanya, kadar denda yang dikenakan bukan kecil, malah boleh mencecah lebih 500 baht (kira-kira RM65).

Seorang lagi penduduk Yie Ismail, 30, dalam pada itu memberitahu, kualiti jalan di negara ini yang baik dan jalan lurus serta rata menjadikan rakyat Malaysia memandu sehingga melebihi had laju.

“Walau pun jarang berlaku kemalangan membabitkan kenderaan Malaysia tetapi mereka me­langgar lalu lintas di negara ini.

“Situasi ini dapat dilihat pada, waktu petang apabila ramai yang memandu laju kerana mengejar masa untuk mengelakan terperangkap semasa menyelesaikan dokumentasi di Kompleks Imigresen dan Kastam Thailand,” ujarnya.

Pada masa sama, keadaan jalan raya dua lorong yang lurus, rata dan bebas daripada lubang dikenal pasti antara faktor utama mendorong segelintir rakyat Malaysia memandu melebihi had laju ketika berada di selatan Thailand.

Perkara itu diakui oleh warga Malaysia Rosli, 45, yang sering berulang-alik ke negara ber­kenaan.

Katanya, keadaan jalan yang baik menyebabkan ramai pemandu tidak sedar mereka telah melebihi had laju yang ditetapkan pihak berkuasa Thailand.

“Jalan dia elok, lurus pula tu. Kita rasa macam selamat, tapi sebenarnya had laju tetap rendah. Ramai yang tak perasan sudah bawa laju,” katanya ketika dihubungi.

Rosli memberitahu, bagai­ma­napun dia sentiasa berhati-hati sepanjang pemanduan di negara Gajah Putih itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN