Dua lori terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

Dua lori terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

SEORANG pemandu lori maut, manakala seorang lagi cedera selepas kedua-dua kenderaan dipandu mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 40.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara, di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang pemandu lori maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan lori dipandu kedua-dua mereka terlibat dalam kemalangan tengah hari, hari ini di Kilometer 40.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara, di sini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khairil Buang berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.14 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai 16 anggota beserta tiga buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori tangki tanpa muatan yang telah terbakar kira-kira 80 peratus bersama sebuah lori membawa muatan tepung.

“Pemeriksaan mendapati pemandu lori tangki mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam, manakala pemandu lori membawa muatan tepung berada dalam keadaan tersepit.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa sebelum pegawai kesihatan memaklumkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Khairil, anggota turut bertindak melakukan operasi pemadaman kebakaran menggunakan satu aliran air dari jentera sebelum operasi tamat pada pukul 2.28 petang.

Sementara itu, PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan kemalangan tersebut telah mengakibatkan kesesakan sehingga 10 kilometer dan meminta orang ramai menggunakan laluan alternatif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN