PETALING JAYA: Skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) membabitkan 7.5 juta pengguna di Malaysia merekodkan peningkatan apabila mencatatkan kira-kira 243 juta transaksi dengan nilai urus niaga RM21.3 bilion sepanjang tahun 2025.
Peningkatan ketara itu direkodkan susulan pertambahan penyedia perkhidmatan BNPL di pasaran iaitu daripada 10 kepada 16 penyedia dalam masa tiga tahun kebelakangan ini sekali gus memperluaskan akses dan pilihan skim kepada pengguna.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, walaupun transaksinya mencatatkan peningkatan namun tahap risiko melibat peminjam masih di tahap terkawal.
Jumlah pinjaman BNPL setakat 31 Disember lalu sebanyak RM4.9 bilion dan dijangka kekal 0.3 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
“Jumlah pinjaman BNPL tidak berbayar pula (tertunggak) terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman skim.
“Angka ini mencerminkan bahawa beban hutang pengguna adalah terurus,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pemegang akaun BNPL yang meningkat dan langkah yang diambil kerajaan bagi memantau pemegang akaun BNPL.
MOF berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan sektor BNPL, teliti berterusan supaya tidak berkembang menjadi beban hutang tidak terkawal khususnya dengan peningkatan penggunaannya di kalangan golongan muda.
Dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan pemberian kredit bertanggungjawab, kerajaan memperkenalkan pengawalseliaan ke atas perniagaan kredit termasuk syarikat BNPL melalui pewartaan Akta Kredit Pengguna 2025 [Akta 873] yang akan dikuatkuasakan pada tahun ini.
“Di bawah kerangka ini, semua penyedia BNPL wajib mematuhi standard pelakuan (conduct standards) termasuk melaksanakan penilaian kelayakan kredit (creditworthiness assessment) dan kemampuan berhutang (affordability assessment) sebelum sesuatu pembiayaan diluluskan.
“Penyedia BNPL perlu memastikan terma urus niaga, caj dan fi telus, munasabah serta tidak membebankan pengguna, selaras dengan prinsip pemberian kredit secara bertanggungjawab,” katanya.
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) turut diberi kuasa memantau pematuhan berterusan, menjalankan siasatan, mengambil tindakan penguatkuasaan serta mengenakan penalti terhadap pihak yang gagal mematuhi kepeluan pengawalseliaan.
Langkah itu bagi memastikan pertumbuhan pesat skim BNPL tidak menjejaskan perlindungan pengguna dan kestabilan kewangan isi rumah.
“Selain aspek pengawalseliaan, kerajaan juga memberi penekanan kepada usaha memperkukuh literasi kewangan, khususnya dalam kalangan belia dan golongan berpendapatan rendah.
“Inisiatif pendidikan dan kesedaran kewangan terus dipergiat bagi meningkatkan pemahaman mengenai pengurusan hutang, risiko berhutang berlebihan serta kepentingan membuat keputusan kewangan secara berhemah supaya penggunaan BNPL kekal sebagai kemudahan yang membantu dan bukan membebankan pengguna,” katanya. – UTUSAN










