KUALA LUMPUR: Jumlah pemegang akaun atau pengguna aktif kemudahan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat kepada lapan juta bagi suku pertama 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh sama jumlah baki terkumpul BNPL mencecah RM5.3 bilion.
Katanya, jumlah tidak berbayar yang direkodkan bernilai RM181 juta atau 3.4 peratus daripada baki terkumpul.
“Secara keseluruhannya, hutang BNPL kekal rendah iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkenaan langkah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) melindungi pengguna BNPL berikutan transaksi yang mencecah RM9.3 bilion pada separuh pertama 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan itu perlu disertai dengan perlindungan pengguna yang kukuh bagi memastikan kemudahan kredit terus digunakan secara berhemat dan bertanggungjawab.
Katanya, penyedia BNPL kini diwajibkan mendapat lesen SKP.
Ujarnya, SKP telah mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan yang menetapkan standard minimum perlu dipatuhi oleh semua penyedia BNPL.
“Tempoh permohonan lesen telah dibuka pada 1 Jun 2026 dan penyedia BNPL sedia ada diberi tempoh sehingga 30 November 2026 untuk mengemukakan permohonan masing-masing.
“Sepanjang tempoh ini, SKP sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan penyedia BNPL bagi memastikan mereka benar-benar memenuhi keperluan pelesenan,” katanya. – UTUSAN









