Caj tersembunyi BNPL perangkap pelanggan

Caj tersembunyi BNPL perangkap pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Caj tersembunyi, kekeliruan terhadap terma dan syarat serta kesukaran menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan merupakan antara aduan utama diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berkait perkhidmatan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL).

Ini berikutan BNPL lazimnya dipromosikan sebagai tanpa beban dan tanpa faedah apabila dibayar pada bulan berikutnya, lantas mewujudkan persepsi ia bukan suatu bentuk hutang.

Menurut laporan industri Fintech 2025, lebih 6.5 juta akaun BNPL aktif direkodkan di Malaysia bagi separuh pertama 2025, dengan majoriti pengguna terdiri daripada golongan muda dan berpendapatan sederhana.

Nilai transaksi turut melonjak kepada RM9.3 bilion tahun lalu, meningkat lebih 30 peratus berbanding 2024, manakala jumlah pinjaman mencecah RM4.9 bilion setakat Disember 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, perkembangan itu membentuk budaya berhutang dalam kalangan belia bawah 30 tahun, khususnya individu yang masih di peringkat awal kerjaya dan belum mempunyai kestabilan kewangan.

“Walaupun peratusannya masih kecil berbanding keseluruhan hutang isi rumah, trend peningkatan ini amat membimbangkan kerana ia berlaku dalam tempoh singkat dan melibatkan golongan muda.

“Hakikatnya, pengguna tetap terikat dengan komitmen bayaran yang perlu dilunaskan mengikut tempoh ditetapkan. Masalah timbul apabila pengguna membuat pembelian tanpa menilai kemampuan sebenar kerana tidak perlu membayar secara penuh ketika transaksi dibuat.

“Golongan muda paling terdedah kerana cenderung membuat keputusan kewangan berdasarkan kemampuan jangka pendek tanpa mengambil kira kesan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Saravanan berkata, pendaftaran yang mudah serta integrasi BNPL dalam platform e-dagang menjadikan akses kredit semakin longgar dan hampir tanpa sekatan.

Katanya, keadaan itu mendorong pengguna mengambil beberapa perkhidmatan BNPL secara serentak tanpa menyedari jumlah komitmen sebenar yang perlu ditanggung setiap bulan.

“Apabila bayaran tertunggak berlaku, pengguna akan dikenakan caj lewat bayar atau penalti, sekali gus meningkatkan beban hutang dan dalam sesetengah kes menjejaskan rekod kredit,” katanya.

Saravanan berkata, wujud keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan kewangan agar golongan muda lebih memahami risiko serta tanggungjawab sebelum menggunakan kemudahan kredit seperti BNPL.

Katanya, kerajaan dan pengawal selia digesa memperkenalkan rangka kerja lebih ketat termasuk penilaian kemampuan kewangan pengguna, penetapan had kredit munasabah serta ketelusan penuh terhadap terma perkhidmatan.

“Pengawalseliaan yang jelas penting bagi memastikan kemudahan ini tidak disalah guna sehingga menjejaskan kesejahteraan pengguna, khususnya golongan muda,” katanya.

Saravanan berkata, golongan belia perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan BNPL dan tidak menjadikannya sebagai jalan mudah untuk memenuhi kehendak gaya hidup.

“BNPL perlu dilihat sebagai komitmen kewangan. Tanpa disiplin, ia boleh menjadi beban hutang yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN