BNPL perangkap budaya hutang kronik, muflis

BNPL perangkap budaya hutang kronik, muflis

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena peng­gunaan kaedah ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kini bukan lagi sekadar trend penggunaan digital, sebaliknya membentuk budaya berhutang mikro yang kronik.

Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pe­ningkatan kos sara hidup dan kuasa beli yang semakin lemah telah mendorong pelajar untuk bergantung kepada kemudahan kredit mikro seperti BNPL bagi menampung keperluan asas, malah ada yang menggunakannya untuk berbelanja mewah.

Katanya, perubahan corak per­belanjaan itu menandakan pergeseran budaya kewangan, daripada menabung sebelum membeli, kepada berhutang un­tuk memenuhi gaya hidup segera.

“Walaupun tidak terus membawa kepada muflis, trend ini membentuk budaya berhutang mikro yang kronik. Ia boleh berkembang menjadi masalah hutang makro apabila mereka mula bekerja dan berdepan tanggungjawab kewangan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam melaporkan belum bergelar graduan tetapi mahasiswa sudah terpe­rangkap dalam beban hutang mencecah ribuan ringgit akibat ketagihan menggunakan per­khidmatan ‘beli sekarang bayar kemudian’ atau Buy Now Pay Later (BNPL).

Fenomena ini semakin membimbangkan apabila platform dalam talian yang kononnya memudahkan urusan pembelian dilihat menjerat golongan muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang belum mempunyai sumber pendapatan tetap tetapi ghairah mengejar gaya hidup mewah.

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut menunjukkan peningkatan kes muflis dalam kalangan individu berusia bawah 35 tahun, sebahagiannya berpunca daripada pengurusan hutang kecil yang tidak terkawal, termasuk pembelian melalui skim ansuran digital.

Abu Sofian berkata, jika tidak dikawal, peningkatan penggunaan BNPL boleh menjejaskan kestabilan kewangan isi rumah dan mencipta risiko shadow credit bubble iaitu gelembung hutang tersembunyi di luar sistem institusi kewangan rasmi.

“Lebih membimbangkan, BN­PL tanpa kawal selia rapi bo­leh melemahkan budaya simpanan nasional kerana generasi muda mula menganggap kredit sebagai sumber utama untuk berbelanja. Ini boleh memberi tekanan kepada ekonomi pengguna dan pasaran kredit negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Amirah Ahmad Suki berkata, walaupun BNPL menawarkan kemudahan tanpa faedah dalam tempoh tertentu, pelajar perlu berdisiplin dan celik kewangan supaya tidak terjerumus dalam perangkap hutang.

Katanya, ada pengguna bijak menggunakan BNPL untuk promosi tanpa faedah, tetapi ramai juga yang terperangkap kerana tidak merancang jadual bayaran.

Kegagalan melunaskan ansu­ran boleh menyebabkan penalti tinggi dan beban hutang berpanjangan.

“Trend BNPL semakin rancak apabila platform e-dagang utama serta aplikasi seperti TikTok Pay Later turut menawarkan kemudahan tersebut, menjadikan akses kepada hutang mikro semakin mudah dan menarik minat pelajar yang terdedah kepada pengaruh media sosial.

“Reputasi platform e-dagang yang semakin popular dalam kalangan belia turut mendorong mereka berbelanja melebihi ke­mampuan. Ini menimbulkan risiko apabila mereka tidak mem­punyai pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu, Perunding Ke­wangan, Mahzuan Mohmed ber­kata, kaedah berkenaan amat berbahaya dalam kalangan pe­lajar yang belum matang dari segi kewangan.

“Mereka mudah keliru antara keperluan dan kehendak. Promosi dan iklan di media sosial menjadikan mereka teruja untuk membeli barangan tidak perlu walaupun tiada kemam­puan,” katanya.

Beliau turut menasihati pelajar untuk membangunkan literasi kewangan asas, termasuk pengurusan bajet, simpanan kecemasan dan had penggunaan kredit.

“Mahasiswa perlu mengutamakan perancangan kewa­ngan, bukannya memenuhi gaya hidup semata-mata. Ini soal disiplin dan kemampuan. Jangan ukur gaya hidup orang lain dengan poket sendiri,” katanya.

Mahzuan berkata, sekiranya gaya berbelanja itu tidak dibendung, pelajar akan mula bekerja dengan beban hutang sedia ada, sekali gus menjejaskan produktiviti dan kestabilan ekonomi peribadi.

“Hutang yang bermula dengan seratus ringgit boleh menjadi ribuan ringgit jika tidak diurus. Akhirnya, mereka terperangkap dalam kitaran hutang berpanjangan walaupun baru melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Abu Sofian turut mencadangkan agar kerajaan memperkenal garis panduan kawal selia BNPL termasuk had pinjaman bagi pelajar serta keperluan pendedahan penuh kepada pengguna sebelum meluluskan transaksi.

“Langkah pendidikan kewangan wajib diperkuatkan di peringkat IPT supaya generasi muda memahami risiko hutang kecil yang tidak terkawal. Jika tidak, budaya berhutang ini akan menjadi barah dalam sistem kewangan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN