4 lukisan bernilai RM140 juta dikaitkan 1MDB tiba Isnin depan

4 lukisan bernilai RM140 juta dikaitkan 1MDB tiba Isnin depan

MOHAMAD ZAMRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai lebih AS$30 juta atau RM140 juta tiba di negara ini pada Isnin depan.

Berdasarkan maklumat, karya berkenaan sebelum ini dibeli melalui lelongan antarabangsa di New York pada November 2014 dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM930,000 mengikut kadar semasa.

Antara karya yang terlibat ialah lukisan Composition tahun 1953 oleh Joan Miró yang dibeli pada harga kira-kira RM440,000, melebihi anggaran awal antara RM280,000 hingga RM375,000.

Turut tersenarai ialah karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV 1934 yang diperoleh pada harga sekitar RM235,000, jauh mengatasi anggaran asal antara RM95,000 hingga RM140,000.

Selain itu, karya Étude pour femme couchée 1948 oleh Balthus turut dibeli pada harga kira-kira RM132,000 berbanding anggaran RM70,000 hingga RM95,000.

Sementara itu, karya litograf berwarna L’Ecuyere et les clowns (1961) hasil Pablo Picasso direkodkan dibeli pada harga sekitar RM123,000, jauh melebihi anggaran awal sekitar RM23,000 hingga RM33,000.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, kesemua lukisan bernilai tinggi itu adalah hasil perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) di Washington DC pada Disember tahun lalu.

Katanya, kesemua lukisan berkenaan telah melalui proses penghantaran untuk dibawa pulang sejak dua minggu lalu.

“Saya difahamkan lukisan-lukisan ini sedang dalam kurier untuk tiba di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Ia adalah lukisan Jasmine yang berada di Sotheby’s Auction House,” katanya ketika ditemui dalam temubual khas di sini semalam.

Kata Mohamad Zamri, sebanyak enam lagi lukisan iaitu masih berada di bawah jagaan rumah lelong terkenal, Christie’s di Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.

Jelasnya, Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) untuk membawa pulang empat lagi lukisan yang berada di Christie’s.

“Satu lukisan Monet sudah terjual dan SPRM akan memperoleh dana hasil jualan berkenaan,” jelasnya. 

Pada 13 Disember lalu, usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia.

Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi pihaknya bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN