11 peserta himpunan Garah saman kerajaan 

11 peserta himpunan Garah saman kerajaan 

SERAMAI 11 peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan enam defendan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 11 individu termasuk aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan enam defendan lain. 

Saman yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini menerusi Tetuan Chambers of Zainul Rijal adalah berhubung penangkapan dan penahanan salah terhadap plaintif semasa himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di Kompleks Beli-Belah Sogo, bulan lalu. 

Kesemua plaintif menamakan anggota-angota polis lain yang belum dinamakan, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebagai defendan pertama hingga ketiga. 

Selain itu, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.    

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili semua plaintif berkata, mereka juga memohon satu permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada kesemua defendan.

“Plaintif juga memohon satu deklarasi tindakan defendan kelima (Saifuddin Nasution) dan defendan keenam (Anwar) adalah ultra vires di bawah Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Penahanan dan penangkapan oleh defendan adalah tidak sah dan bercanggah Perkara 5(1) tentang kebebasan peribadi, Perkara 9(2) kebebasan bergerak dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan,” katanya semasa sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini. 

Beliau berkata, saman itu juga difailkan kerana terdapat kekerasan atau serangan yang tidak perlu dalam proses penangkapan oleh defendan pertama (anggota polis) dan defendan ketujuh sebenarnya bertanggungjawab untuk menanggung rugi terhadap plaintif.

“Akibat daripada tahanan salah ini, plaintif kehilangan kebebasan diri, kecederaan, ketidakselesaan fizikal, tekanan emosi, maruah dan mental. 

“Jadi saman ini difailkan bagi menuntut pihak-pihak yang berautoriti untuk menanggung rugi dan akibat mereka menafikan hak berperlembagaan plaintif,” katanya. 

Bulan lalu, polis mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk penyelaras himpunan Garah, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran Sogo.  

Fadil berkata, penahanan mereka bagi mengelak daripada berlaku apa-apa yang lebih teruk atau perkara yang tidak dapat dijangka dan melarat atau berlaku jenayah lain akibat tindakan berhimpun itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN