Universiti wajib semak program setiap 5 tahun

Universiti wajib semak program setiap 5 tahun

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua universiti diwajibkan membuat semakan terhadap program pe­ngajian yang ditawarkan setiap lima tahun bagi memastikannya relevan dengan keperluan industri semasa termasuk kecerdasan buatan (AI)

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu bagi memastikan kelayakan akademik mereka setimpal dengan kelulusan.

Katanya, universiti perlu sentiasa menilai program ditawarkan dan menamatkan mana-mana program yang tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa bagi mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan sumber.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan learn by doing (pembelajaran berasaskan amali) juga wajar diperluaskan supaya pelajar bukan sahaja memahami teori, malah mampu meng-aplikasikannya dalam situasi sebenar.

“Gabungan teori dan amali ini sangat efektif untuk memastikan graduan kita sentiasa menjadi ida­man majikan kerana apa yang dipelajari selari dengan apa yang diperlukan industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira dua juta graduan pada masa ini bekerja dalam sektor pekerjaan yang tidak setan­ding dengan kelayakan akademik mereka termasuk memperoleh gaji tidak setimpal dengan kelulusan.

Pada 2024, sekitar 232,000 graduan baharu dihasilkan ber­banding hanya 127,000 pekerjaan baharu yang wujud. Bagaimanapun, hanya 34,000 daripada pekerjaan baharu itu memerlukan tenaga kerja mahir

Mohammad Shatar berkata, universiti boleh merombak subjek dalam memenuhi keperluan semasa tetapi tidak boleh me­lebihi 90 peratus dari silibus asal.

“Universiti dibenarkan me­lakukan perubahan terhadap program dan hanya perlu memaklumkan kepada MQA untuk tujuan pengesahan. Perubahan kecil yang dibuat tidak memerlukan proses verifikasi yang rumit seperti sebelum ini.

“Namun, sekiranya perubahan yang dilaksanakan adalah besar dan menyeluruh, perkara itu akan dinilai secara terperinci semasa audit pematuhan yang dijalankan setiap lima tahun.

“Masa audit pematuhan itulah kita akan lihat bagaimana perubahan-perubahan itu dibuat. Jika ia dilakukan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tindakan boleh dikenakan,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, tanggungjawab utama MQA adalah memastikan setiap program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi menepati kehendak pasaran kerja termasuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Menurut beliau, MQA akan menilai beberapa komponen utama termasuk mendapatkan input daripada pihak industri dan majikan yang berkaitan dengan bidang atau kepakaran yang ditawarkan sebelum sesuatu program diberikan kelulusan akreditasi.

“Setiap program yang diberikan kelulusan akreditasi perlu mengambil kira pandangan serta keperluan majikan. Ini bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi kehendak industri.

“Walaupun garis panduan menetapkan semakan perlu dibuat setiap lima tahun namun mengikut peredaran zaman yang pantas, universiti tidak perlu menunggu tempoh tersebut sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk melakukan penambahbaikan.

“MQA tidak pernah meng­halang universiti untuk membuat semakan lebih awal malah sentiasa menggalakkan institusi agar responsif terhadap perubahan pesat dalam teknologi, pentadbiran serta keperluan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN