Nira kelapa sumber rezeki tiga beradik ‘mok nyadat’ - Utusan Malaysia

Nira kelapa sumber rezeki tiga beradik ‘mok nyadat’

SITI Nur Akhmar Ramli mengambil air nira yang terkumpul dalam botol plastik di Kampung Jenang, Marang, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Air nira yang terkumpul dalam botol diminum dan dirosakkan kumpulan kera. Itu antara cabaran dihadapi oleh tiga beradik dari Kampung Jenang di sini, sepanjang bergelar ‘mok nyadat’

Siti Nur Akhmar Ramli, 35, berkata, dia bersama dua adiknya juga berdepan risiko jatuh tangga, disengat tebuan dan dipatuk ular di kebun kelapa ketika menyadap (menoreh) nira atau tuak.

Katanya, pekerjaan itu diusahakan bersama kakaknya, Siti Nur Aishah, 42, dan adiknya, Siti Norafifah, 31.

Ujarnya, kemahiran menyadap diwarisi daripada Allahyarham bapa, Ramli Mustaffa yang merupakan ‘tok nyadat’ terkenal di kampung berkenaan.

“Lazimnya kerja ini dilakukan lelaki dan lebih sinonim dipanggil tok nyadat kerana ia memerlukan kemahiran memanjat pokok kelapa.

“Sejak remaja saya sering mengikut arwah bapa ke kebun dan membantunya. Selepas pemergiannya kira-kira 12 tahun lalu, saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi menyadap serta mengusahakan kebun kelapa sendiri, tidak jauh dari rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Siti Nur Akhmar berkata, mereka menanam kira-kira 150 pokok kelapa yang kini mengeluarkan hasil memuaskan.

“Sepanjang Ramadan, air nira mendapat permintaan tinggi dan dijual segar kepada pelanggan. Sehari saya boleh kumpul kira-kira 40 liter air nira. Kami jual pada harga RM11 bagi botol 1.5 liter dan RM4 untuk 500 mililiter (ml).

“Kebanyakan pelanggan membeli untuk dijual semula di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, pada hari biasa pula, air nira yang dikumpulkan diproses menjadi nisan kerek atau lebih dikenali sebagai gula Melaka oleh ibu mereka, Fatihah Mohamad, 73.

“Rutin kami bermula seawal pukul 7.30 pagi hingga 10 pagi untuk mengutip air nira yang ditadah sejak petang sebelumnya. Pada sebelah petang, sekitar pukul 5 hingga 6 petang, kami ke kebun semula untuk menyadap mayang kelapa dan menggantikan tadahan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×