Malaysia dijangka alami cuaca lebih lembap awal Ramadan

Malaysia dijangka alami cuaca lebih lembap awal Ramadan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih lembap pada minggu pertama Ramadan susulan luruan angin monsun yang memasuki rantau negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), luruan angin tersebut dijangka membawa ribut petir serta hujan lebat dalam tempoh yang lebih panjang terutamanya di Sabah dan Sarawak pada 19 hingga 23 Februari.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan yang berkuat kuasa dari 18 hingga 21 Februari.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Pahang melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Cuaca sama dijangka berlaku di Sarawak membabitkan Kuching serta Samarahan (Samarahan dan Asajaya), selain di Sabah melibatkan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan).

Menurut MetMalaysia, amaran tersebut berkuat kuasa sehingga pukul 1 tengah hari, Rabu, 18 Februari 2026.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/j) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.

“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN