Ribut petir dijangka landa Kuala Lumpur dan beberapa negeri petang ini

Ribut petir dijangka landa Kuala Lumpur dan beberapa negeri petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribut petir dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kedah, Pulau Pinang, Pahang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada petang ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan sama turut melibatkan Johor selain beberapa kawasan pedalaman di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Pada waktu pagi, ribut petir hanya dijangka berlaku di beberapa kawasan di Johor manakala hujan diramal di kawasan pantai Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kebanyakan negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka tidak mengalami hujan,” katanya dalam kenyataan.

Di Sabah, hujan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Labuan selain beberapa kawasan pedalaman, manakala Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat diramal tanpa hujan pada sebelah pagi.

Sarawak pula dijangka mengalami hujan di beberapa kawasan termasuk Betong, Sarikei, Mukah dan Bintulu, sementara kawasan lain seperti Kuching, Samarahan, Sibu dan Miri dijangka cerah tanpa hujan.

Menjelang petang, ribut petir dijangka lebih meluas di kebanyakan negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala Sabah turut mencatatkan ribut petir di kawasan pedalaman serta Pantai Barat.

“Di Sarawak, ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan bahagian termasuk Kuching, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang,” katanya.

Pada waktu malam pula, ribut petir dijangka tertumpu di Pahang selain beberapa kawasan pedalaman di Kelantan dan Terengganu.

Menurut MetMalaysia, hujan juga diramal berlaku di beberapa kawasan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya dan Johor dijangka tidak mengalami hujan.

“Cuaca di Kuala Lumpur pada waktu pagi dijangka tanpa hujan namun ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang dengan suhu antara 24 hingga 34 darjah Celsius,” katanya.

Dalam pada itu, keadaan angin di Selat Melaka diramal bertiup dari arah barat laut pada kelajuan antara 10 hingga 20 kilometer sejam dengan ombak setinggi 0.5 hingga 1.0 meter.

“Bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu pula, angin dijangka bertiup antara 20 hingga 30 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sekitar 1.0 hingga 1.5 meter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN