Ribut petir di kebanyakan negeri petang ini, reda menjelang malam

Ribut petir di kebanyakan negeri petang ini, reda menjelang malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Pulau Pinang, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, petang ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), keadaan sama turut dijangka berlaku di kawasan pedalaman melibatkan Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Bagaimanapun, tiada hujan dijangka di Perlis dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Sabah, hujan diramal berlaku di kawasan Pedalaman dan Pantai Barat, manakala Tawau, Sandakan, Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan dijangka tidak mengalami hujan.

Sementara itu, di Sarawak, ribut petir dijangka melanda kebanyakan kawasan termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Menjelang malam, MetMalaysia memaklumkan ribut petir masih berlaku di beberapa kawasan di Pahang serta pedalaman Johor.

“Selain itu, hujan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Perlis serta beberapa kawasan di Kedah, manakala hujan turut diramal di kawasan pedalaman Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kebanyakan negeri lain termasuk Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka tidak mengalami hujan,” katanya.

Di Sabah, hujan pada waktu malam dijangka tertumpu di kawasan Pedalaman dan Tawau, manakala kawasan lain tidak mengalami hujan.

Di Sarawak pula, hujan dijangka berlaku di Kapit dan Miri, sementara kawasan lain dijangka tidak mengalami hujan.

Menurut MetMalaysia, keadaan angin di Selat Melaka dan Laut China Selatan bertiup antara 20 hingga 30 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sekitar 1.0 hingga 1.5 meter.

“Bagi Laut Sulu, keadaan angin turut berada pada kelajuan sama dengan ombak setinggi 1.0 hingga 1.5 meter,” katanya.

Tambahnya, cuaca di Kuala Lumpur pada waktu pagi adalah tanpa hujan, namun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang dengan suhu antara 24 hingga 34 darjah Celsius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN