PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di lima negeri sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, amaran itu melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia, amaran yang dikeluarkan pukul 8.50 pagi itu melibatkan Klang, Kuala Langat dan Sepang di Selangor.
Katanya, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang turut dijangka berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Amaran sama turut dikeluarkan bagi seluruh Melaka serta beberapa kawasan di Johor iaitu Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Di Sarawak, kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei termasuk Sarikei dan Meradong serta Mukah membabitkan Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MetMalaysia berkata, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran,” katanya. – UTUSAN










